Memerhati,mempelajari dan menghayati...

PERINGATAN BUAT SEMUA

MAAF JIKA SESIAPA YANG MENDAPATI ADA KOMEN MENGGUNAKAN BLOG SAYA DAN BERUNSURKAN FITNAH SERTA ADU DOMBA ATAU CARUTAN DENGAN BERTUJUAN UNTUK MELAGA-LAGAKAN SAYA DENGAN BLOGGER LAIN.DEMI ALLAH DAN RASUL TERCINTA MEREKA ITU IALAH API FITNAH YANG SENGAJA MAHU MENCEMARKAN NAMA ORANG LAIN.

Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya. (Surah al-Baqarah, ayat 191)


Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah bermaksud: Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan. (Surah al-Hujurat, ayat 6)


Monday, November 9, 2009

Baiah PAS Mempertuhankan Politik – Mufti Perak

Mufti anggap jatuh talak isteri sertai parti lain persendakan perkahwinan

KUALA LUMPUR: Amalan baiah atau sumpah taat setia akan jatuh talak tiga terhadap isteri wakil rakyat Pas yang mengkhianati parti itu dengan menyertai parti lain, adalah tindakan mempertuhankan politik dan demokrasi

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata tindakan itu jelas mempersendakan kemuliaan isteri apabila menjadikan pasangan sebagai barang gadaian dan jaminan politik

“Isteri bukannya barang gadaian dan jaminan, sewaktu hendak kahwin kita ambil dengan cara baik dan kita memperisterikannya dengan perjanjian yang besar di hadapan Tuhan,” katanya ketika mengulas mengenai pendedahan beberapa pemimpin Pas melakukan baiah talak tiga yang akan jatuh ke atas isteri wakil rakyatnya yang mengkhianati parti itu termasuk melompat parti

Bagi Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, menyifatkan baiah sehingga talak tiga akan jatuh ke atas isteri pemimpin Pas yang melompat parti adalah tidak bertamadun dan boleh menjatuhkan imej Islam

“Talak juga dibenci oleh Allah, baiah seperti ini adalah budaya orang yang tidak bertamadun. Perempuan mahal harganya dan bukan boleh dijual beli dan bab agama jangan dipolitikkan sehingga isteri menjadi mangsa

“Sanggupkah dengan politik kita biarkan rumah tangga yang dibina hancur. Bagaimana jika pemimpin itu melompat parti pada usia 65 tahun, sudah punyai ramai cucu, anak dan menantu. Apa yang berlaku jika mereka bercerai, cuba bayangkan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam

Sementara itu, Ahli Parlimen pembangkang, Zulkifli Noordin, berkata amalan baiah itu adalah satu dasar yang paling tidak masuk akal dan begitu mengejutkannya

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu berkata, amat malang bagi gerakan yang mengambil Islam teras perjuangan menjadikan baiah itu sebagai dasarnya

“Dasar ini mengembalikan kita balik ke zaman jahiliah, wanita menjadi bahan dagangan, pajakan dan gadaian,” kata beliau dalam blognya http://zul4kulim.blogspot.com.

Katanya, beliau yang pada mulanya tidak percaya dengan laporan media terbabit berasa terkejut selepas perkara itu diakui rakannya dalam Pas yang pernah mengangkat baiah itu

“Malah ada di antara mereka menceritakan bagaimana mereka sendiri menggigil apabila mengangkat baiah berkenaan

“Yang paling sedih, ada di antara isteri yang dikehendaki hadir dalam majlis baiah ini menangis dan menggeletar mendengar ikatan perkahwinan mereka dijadikan bahan tebusan demi untuk kepentingan politik kepartian yang terlalu sempit dan jumud,” katanya

Zulkifli berkata, beliau terkejut apabila beberapa tokoh politik Pas yang dihubunginya bukan saja tidak merasa bersalah dan berdosa dengan baiah itu malah mempertahankannya dengan alasan dangkal yang tidak bersandarkan al-Quran, sunnah Rasulullah dan sahabat baginda serta khalifah

Beliau mempersoalkan tindakan Pas yang tidak membangkitkan isu itu secara dalaman dan mencari penyelesaiannya secara muzakarah sebaliknya memilih untuk mendedahkannya kepada umum

“Saya khuatir dengan isu seperti ini, mereka yang menyokong Pas selama ini akan menjadi ragu-ragu, malah akan menukar sokongan mereka,” katanya

petikan dari : Berita Harian



Muslimat Pas pertahan bai'ah

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Dewan Muslimat Pas hari ini mempertahankan amalan bai'ah atau sumpah taat setia talak tiga terhadap isteri wakil rakyat parti itu yang melompat parti.

Selain membela wanita, Dewan Muslimat turut menyifatkan amalan bai'ah itu dapat menguatkan azam pemimpin Pas yang menang pilihan raya untuk terus komited kepada perjuangan parti.

Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh menegaskan, pihaknya tidak menolak amalan itu kerana sangat memahami mengapa bai'ah tersebut dilakukan iaitu demi memperteguhkan parti.

"Kami sangat setuju dengan bai'ah ini, ikrar ini bukan bermakna mereka tidak sayang tetapi satu istiqamah terhadap parti, perjuangan ini satu amanah.

"Bagaimana mereka kasihkan isteri, begitu juga mereka perlu kasih parti... sama kasihnya," kata beliau kepada Mingguan Malaysia semasa ditemui pada Seminar Memperkasakan Parti Pas di markas parti itu di Taman Melewar, Gombak di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia mengenai pendedahan beberapa pemimpin Pas tentang bai'ah talak tiga itu yang akan jatuh ke atas isteri wakil rakyatnya yang mengkhianati parti itu seperti melompat parti.

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, beliau sendiri pernah melakukan bai'ah semasa dipilih sebagai calon pilihan raya untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan DUN Paya Jaras tahun lalu.

Beliau berkata, bai'ah itu yang disediakan Dewan Ulama Pas akan dibaca beramai-ramai di hadapan Pesuruhjaya Pas negeri sebelum pilihan raya berlangsung.

Mengulas lanjut, Nuridah berkata, amalan bai'ah ini diperkenalkan kepada calon Pas lelaki sejak pilihan raya 2007.

"Saya tak rasa wanita direndahkan. Ini merupakan satu cabaran kepada pada muslimin. Ia bukan menggalakkan penceraian, ia satu pengorbanan. Mereka tidak boleh 'main-main' masuk parti Pas yang berjuang memperteguh syiar Islam.

"Saya melihatnya positif. Media jangan 'main-main' dengan isu ini," katanya.

Turut bersetuju dengan pendapat beliau ialah Naib Ketua Dewan Muslimat Pas, Senator Mumtaz Md. Nawi yang menyifatkan amalan tersebut menjadikan wakil rakyat Pas lebih menyayangi isteri serta tidak berani memungkiri janji yang mereka ikrar sendiri.

"Ini pembelaan kepada wanita. Janji tetap janji. Apa pula pelik? Taklik kalau keluar pintu pun jatuh talak. Inikan pula keluar perjuangan Islam, lepas habis tempoh nak lompat, lompatlah.

"Kenapa pula orang nak bising. Taklik itu sah. Kalau tak sanggup tak ada orang paksa jadi calon," katanya.

Jelasnya, semua wakil rakyat Pas memahami Islam dan mereka tidak ada masalah untuk memahami mengapa bai'ah dilakukan oleh parti.



Hadi arah siasat baiah

http://www.malaysianbar.org.my/berita/komen_undang_undang/hadi_arah_siasat_baiah.html

Majlis Syura nafi pernah minta wakil rakyat Pas lakukan sumpah talak tiga

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, mengarahkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan wujudnya amalan baiah atau sumpah taat setia akan jatuh talak tiga terhadap isteri wakil rakyat Pas yang mengkhianati atau keluar parti.


Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali, berkata Hadi membuat arahan itu selepas isu berkenaan dilaporkan media, minggu lalu.

Katanya, beliau sudah pun memulakan siasatan, namun setakat ini Jawatankuasa Pusat atau Majlis Syura Pas menafikan pernah mengarahkan wakil rakyat parti itu melakukan baiah talak tiga.

"Saya juga telah menghubungi beberapa wakil rakyat Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Mereka juga memberitahu tidak pernah melakukannya. Saya sendiri terkejut dan tidak tahu mengenai kewujudan baiah itu sebelum ini.

"Kalau baiah biasa yang meminta taat setia kepada parti adalah... tidak sampai membabitkan jatuh talak tiga," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Ditanya sama ada beliau akan menyiasat Dewan Ulama Pas yang dikatakan mengeluarkan arahan itu dan wakil rakyat dari Selangor yang mengakui mengakui kewujudan amalan itu, Mustafa berkata, dakwaan itu sedang disiasat.

Minggu lalu, akhbar melaporkan pendedahan beberapa pemimpin Pas berhubung baiah talak tiga yang akan jatuh ke atas isteri wakil rakyatnya yang mengkhianati parti termasuk melompat parti.

Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib bagaimanapun berkata, sepanjang menerajui Dewan itu, beliau tidak pernah mengeluarkan arahan supaya baiah seumpama itu dilakukan.

"Baiah taat setia memang ada dilakukan yang berbunyi 'saya bernama sekian yang dipilih menjadi calon pilihan raya sama ada menang atau kalah, berjanji bersungguh-sungguh tidak akan mengkhianati parti'... itu saja," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa, menegaskan perbuatan baiah tidak salah di sisi agama.

"Kenapa salah? Apa hukum mengatakan ia salah. Mana ada mufti kata baiah salah. Saya suka hati, sukarela melakukan baiah kerana tak nak lompat parti dan tahu tidak akan lompat parti," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Husam berkata, baiah adalah untuk melindungi amanah yang diterima daripada rakyat supaya tidak mengkhianati parti atau melompat parti.

Beliau turut menuduh isu berkaitan baiah sengaja ditimbulkan oleh Umno selepas gagal membeli wakil rakyat pembangkang di Selangor, Kedah dan Kelantan.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula berkata, baiah atau sumpah taat setia memang dilakukan oleh pemimpin parti pada hari pertama mereka memegang jawatan, tetapi ia sama seperti sumpah jawatan dan simpan rahsia kerajaan.

Seorang lagi Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, berkata pemimpin atau wakil rakyat Pas di Kedah tidak pernah diminta melakukan baiah cerai talak tiga.

"Tidak ada arahan seperti itu. Isunya sekarang tiada siapa mahu menceraikan isteri malah nak tambah lagi adalah," katanya berseloroh.

Taib Azamudden (Pas-Baling) juga menegaskan soal baiah tidak pernah diputuskan dalam mana-mana peringkat dalam Pas.



"Cuma yang ditimbulkan adalah spekulasi yang saya rasa bermotif politik. Kita sedang siasat siapa yang kata benda ini wujud dalam Pas... ini satu dongeng yang ditimbulkan pihak lain," katanya.


Komen : Apa dah jadi ni PAS? Macam mana bai'ah talak tiga diketahui oleh segolongan MP PAS tetapi presiden sendiri tak pernah dengar pasal perkara ini? Hadi kena siasat habis habisan dalang yang membuat baiah talak tiga ni .Siasat sama orang-orang yang bermati-matian pertahankan baiah keji yg teramat disukai oleh Iblis ni..


0 comments: