Memerhati,mempelajari dan menghayati...

PERINGATAN BUAT SEMUA

MAAF JIKA SESIAPA YANG MENDAPATI ADA KOMEN MENGGUNAKAN BLOG SAYA DAN BERUNSURKAN FITNAH SERTA ADU DOMBA ATAU CARUTAN DENGAN BERTUJUAN UNTUK MELAGA-LAGAKAN SAYA DENGAN BLOGGER LAIN.DEMI ALLAH DAN RASUL TERCINTA MEREKA ITU IALAH API FITNAH YANG SENGAJA MAHU MENCEMARKAN NAMA ORANG LAIN.

Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya. (Surah al-Baqarah, ayat 191)


Sabda Rasulullah SAW bermaksud: Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah bermaksud: Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan. (Surah al-Hujurat, ayat 6)


Saturday, February 28, 2009

PAS & UMNO - Bersatulah demi Islam

Bismillah

Assalamualaikum


Ketika waktu ini, siapa tak kenal dua parti yang didominasi oleh orang Islam sendiri iaitu PAS dan UMNO. Namun begitu, sayang seribu kali sayang! Dua parti ini juga dikenali sebagai musuh tradisi politik. Masing-masing sibuk menegakkan agenda politik mereka hinggakan lupa akan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin Islam untuk terus mendidik anak-anak Islam di Malaysia supaya menjadi generasi Muslim yang bertaqwa dan berakhlaq.


Masihkah kita ingat bahawa Rasulullah SAW sendiri tidak hadir dengan hukum hukum Allah pada peringkat awal seruan baginda untuk Islam tetapi, baginda menyeru mereka ke arah akidah yang benar dan pembetulan akhlaq yang buruk kepada akhlaq yang baik. Kemudian, apabila baginda sudah berjaya membina sebuah kesatuan umat yang berteraskan kalimah La elah Allah Wa Muhammad rasulullah, barulah hukum hukum Allah diturunkan dan semua umat Islam patuh dan menerimanya tanpa sebarang bantahan.


Oleh hal yang demikian,bagi saya PAS tidak seharusnya bersikap terus menerus dingin terhadap UMNO hanya kerana mereka menolak hudud dan dikatakan masih berpegang kepada Perlembagaan Penjajah. Tetapi bantulah UMNO untuk mencapai matlamat itu walaupun terpaksa mengambil langkah yang perlahan-lahan.Dalam surah At-Taubah ayat 71 Allah berfirman, maksudnya:

“Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan setengah mereka menjadi pembantu bagi yang lain. Mereka mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran.”

Tak bolehkah PAS dengan bijak dan budi pekerti tinggi serta kasih dan sayang sebagai saudara seagama menjadi pembantu dan penasihat untuk UMNO bagi mencegah apa yang mungkar dan mengajar kepada maaruf?

Nanti dahulu! Bukan dengan cara itu yang saya mahu dengar.Bukan dengan kata kata nista dan caci maki! Dan bukan juga dengan umpat-mengumpat serta penghinaan dan bukan dengan mendoakan kecelakaan bagi saudara islam yang lain! Tetapi lakukanlahnya dengan cara berhikmah dan bersabar.

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya”.




Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari”. (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).


“Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga”.
(Hadis riwayat Muslim).



Apa yang penting, betulkan akidah dan akhlaq anak-anak islam kita dahulu.UMNO juga telah banyak berusaha untuk menuju ke arah Negara Islam walaupun masih tidak dapat mewujudkan Kerajaan yang berteraskan Islam sepenuhnya. Tetapi sekurang-kurangnya Islam masih boleh bergema di bumi Malaysia, Azan masih boleh bebas bergerak dengan bangganya di sekeliling udara bumi Malaysia dan banyak program-program Islam telah dan akan diadakan oleh pihak UMNO. Kalaulah PAS juga berganding bahu memantapkan lagi program-program tersebut dan menambahkan serinya lagi dengan idea idea yang bernas dan bijak , nescaya kesatuan umat Islam di sini akan bertambah kukuh Inshallah.



Cukup-cukuplah menunding jari ke arah satu sama lain. Ini bukan masa kita mengungkit kisah lama yang tak berfaedah lagi! Ini adalah masa untuk kita bersatu di bawah bumbung LA ILAH ILA ALLAH WA MUHAMMAD RASULULLAH!

Ini adalah masa untuk kita menolak segala anasir anasir jahat yang berniat buruk untuk tumbangkan Islam di bumi Malaysia bermula dengan fahaman Liberalisme seterusnya Islam hanya akan tinggal pada nama sahaja!


Bilakah mimpi yang saya coretkan ini akan menjadi kenyataan? Hanya Allah yang Mengetahui kerana sepanjang pengamatan saya terhadap kedua-dua pihak ini, Pas masih dengan sikap sombongnya yang langsung tidak mencerminkan sebagai Parti Islam manakala UMNO pula dibelenggu oleh segelintir pemimpin yang tamakkan harta duniawi.Hasilnya siapa yang rugi? Sudah tentulah Umat Islam yang berkemungkinan hak mereka akan dirampas oleh pihak yang hanya menunggu peluang keemasan untuk mematikan 'benih' dan 'bijiran' Islam dari sentiasa berkembang di Bumi Malaysia yang tercinta ini jika kita sendiri leka dan asyik dengan pertelingkahan dan pergaduhan yang tiada kesudahanya.

Namun begitu saya yakin akan kata kata Allah yang bermaksud;


“Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Seungguhnya Ia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana” (Al Anfaal ayat 63)

0 comments: